Tajzibu Athraf Al-Hadith (Malay)

Kitab Tajzibu Athraf Al-Hadith ini adalah merupakan himpunan hadith-hadith yang isinya sangat komprehensif. Kitab ini telah beberapa kali dicetak, dan kitab ini juga banyak diajar di pondok-pondok, masjid, surau dan juga di pejabat-pejabat.

Dan sesungguhnya kitab asalnya ialah dalam tulisan jawi, tetapi memandangkan kebanyakan generasi sekarang ini yang kurang mahir dalam tulisan jawi, maka untuk membantu mereka yang amat berminat mendalami 'ilmu agama, maka Ustazah Noraine Abu telah cuba menyalinnya dari tulisan jawi ke tulisan roman dengan tanpa ada pindaan teks asal, agar muda bagi mereka untuk mengikuti setiap perkataan dalam teks asal.

Kitab Tajzibu Athraf Al-Hadith ini adalah merupakan hasil karangan dan terjemahan oleh Ustaz Abdul Hadi Halim dari Kitab asalnya yang bertajuk Mukhtar Al-Hadith.

Kitab ini mengandungi hadith-hadith pilihan yang mana di dalam jilid pertama hadith-hadith ini disusun mengikut huruf-huruf yang bermula daripada huruf "alaf" hingga "ghain". Kemudian pada jilid yang kedua pula dimulai dengan huruf "fa" hingga "ya".

Setelah itu penyudah bagi kitab ini pula membincangkan hadith-hadith yang membicarakan tentang memperbaiki perangai atau kelakuan setiap muslim supaya menjadi hamba-hamba Allah SWT yang benar-benar berakhlak mulia.